Tuesday, August 25, 2015

Motivasi pelabur: mula melabur

Bila dah tahu kenapa kita mahu melabur, peringkat seterusnya, mulakan pelaburan.

Tapi, asasnya kena tahu juga bagaimana dan bila kita mula melabur. Tak adanya nak main terjah tak tentu pasal

a) Jumlah modal yang kita ada. kalau boleh. Dari jumlah besar modal yang ada, kita bahagi tiga. Untuk permulaan, kita masukkan bahagian pertama dulu. bila dah nampak boleh untung, baru masukkan bahagian kedua dan ketiga.

b) Prestasi tahun tahun lepas bukan jaminan prestasi akan datang. Memang betul, kita tengok prestasi lepas. tapi ia bukan jaminan 100%. sebagai perbandingan antara dana-dana yang ada, mungkin.

c) Insurans/Takaful bukan cara terbaik untuk pelaburan. Memang la insurans dan takaful sekarang ni ada pelan berkaitan pelaburan atau takaful + simpanan. Tapi, revise balik, kita ambil insurans/takaful untuk lindungi diri dari risiko. Itu matlamat utama, simpanan dan pelaburan ni, tambahan saja. Bagi sesetengah orang, lagi baik dari tak ada apa apa. Bagi saya, mungkin lebih baik tapi bukan terbaik.

d) Simpanan kecemasan. Balik kepada modal yang kita ada. Ia bukan dari simpanan kecemasan atau untuk kegunaan harian kita. Ada je saya jumpa, hari ni nak melabur, dah fikir, "kalau minggu depan nak pakai beli barang macam mana" atau "kalau kecemasan (demam atau kereta rosak) nak ambil duit mana?".  Simpanan ni, kita patut dah ada dah. tak melabur pun kena ada. Modal yang kita akan gunakan adalah lebihan tunai yang kita sanggup tak usik dalam tempoh 1- 3 tahun. lagi lama lagi bagus.


Kredit:
www.pakdi.net
www.mohdzulkifli.com

Monday, August 17, 2015

Motivasi pelabur: Kenapa melabur?

Motivasi pelabur: Kenapa melabur?

Saya mula melabur dengan goldbar, sekitar tahun 2013. Masa tu, buat permulaan, 1gram. Niat asal, kalau simpan duit dalam bentuk tunai, akan ter-belanja nanti. Simpan dalam bank? Sama saja, boleh pergi atm, keluarkan-belanja. Jadi, beli GB, memang takkan boleh belanja suka suka hati. Iyalah, nak jual balik, tak mungkin kalau saja suka suka .

Saya taknak cerita kenapa saya melabur dalam emas atau lain lain. Asasnya sama, kenapa kita melabur.
a) Kita melabur untuk mendapat hasil, untuk kembangkan tunai yang kita ada. Bila berjumpa dengan orang, berkongsi pendapat dan pandangan, ada yang menolak terus semua jenis pelaburan. Alasan yang biasa : “ Macam mana kalau nak pakai duit segera?” “Takut syubhah..” dan “Tak reti...”
Risau nak pakai duit segera, saya susah nak komen panjang sebenarnya. Kalau ikut, nak shopping sakan  RM100, kita tak fikir pula risiko kalau nak pakai duit segera. Betul tak?

b) Untuk melabur, kita asingkan sedikit untuk simpanan kecemasan (3-6 bulan). Baru melabur. Di sini, tak timbul kalau nak pakai duit segera sebab kita standby duit ‘kalau nak pakai segera’ dulu, baru melabur.

c)  Guna lebihan tunai yang ada. Ikut bajet. Kalau kita cuma mampu bermula dengan RM50, mulakan dengan yang itu sahaja. Kena rajin survey juga, pelaburan yang mana sesuai dengan kemampuan kita. 

Takut syubhah? Hmmm... banyak pelaburan yang berlandaskan syariah sebenarnya. Cuma, kita cari atau tidak.

a) Pelaburan dalam bentuk simpanan emas/perak, tak timbul isu patuh syariah. Dalam kes beli dan simpan selama yang boleh, tak ada kes tak patuh syariah. Syaratnya, beli tunai. Setakat yang kita mampu.

b) Pelaburan unit amanah, penting untuk dapat maklumat lengkap dulu. Tak salah kalau dapat maklumat dari 3-4 syarikat pelaburan. Contoh: dapatkan maklumat dari ASNB, Maybank Investment, CIMB Wealth Advisor (CWA) dan Public Mutual. Penting sebelum jatuhkan hukuman kepada semua syarikat. Jangan sebab satu kes, kita pukul rata semua orang.

Tak reti? Saya juga bermula dengan tak reti dan tak tahu. Ada baiknya ambil SIKIT RISIKO; hadiri kelas pelaburan. Sama ada dalam bentuk seminar, di internet, atau beli buku berkaitan.  Di internet, banyak pelabur berkongsi ilmu asas pelaburan. Buku buku pun, anggaran RM15-RM50 sudah boleh dapat. Nak jimat juga, perpustakaan kan ada, pinjam saja. 

Saranan saya, nak melabur, bermula dengan lebihan tunai yang ada. Sikit pun tak apa. Motivasi saya, untuk jangka panjang, tak nak usik duit tu. Walau RM100, biar jangan usik selama yang mungkin. Dengan melabur, kita boleh gandakan nilai semasa kita tak usik duit tu.


Kalau ikut nafsu nak habiskan duit, memang rasa sayang pada permulaan. Tapi, dari tahun ke tahun bila hasil pelaburan bertambah, rasa sayang tak habiskan duit tu dah hilang. Senang hati lagi ada, sebab tunai bertambah. Kalau shopping barang yang tak berfaedah, tak boleh jual balik barang tu. 

Saturday, August 1, 2015

Piramid pengurusan kewangan


Melalui piramid kewangan (gambar), kita boleh susun kewangan kita mengikut keperluan. Secara ringkas mengenai instrumen kewangan seperti berikut:

  1. PENDAPATAN (Income);Sumber kewangan adalah PENDAPATAN. Sumber PENDAPATAN adalah daripada pekerjaan seharian kita. Daripada kerja kita itu, barulah kita memperoleh gaji atau PENDAPATAN. Hanya orang yang mempunyai PENDAPATAN perlu untuk menguruskan wang mereka. Jika seseorang itu tidak ada PENDAPATAN, bagaimanakah dia ingin mengurus kewangan?
  2. SIMPANAN (Saving);
    Ia menjadi teras kepada pengurusan kewangan. Jika seseorang itu gagal untuk menguruskan SIMPANANnya dengan baik, agak sukar untuk dia mengurus instrumen-instrumen kewangan yang lain. SIMPANAN menjadi faktor utama untuk peringkat-peringkat pengurusan kewangan seterusnya.
  3. PERBELANJAAN (Expenses);
    Ia merujuk kepada perbelanjaan harian seperti rumah, makan, minum, kenderaan, dan sebagainya. Selalunya ia menjadi perkara utama selepas setiap orang menerima gaji, iaitu;
    PENDAPATAN – PERBELANJAAN = SIMPANAN
    Tetapi, yang sepatutnya ialah;
    PENDAPAAN – SIMPANAN = PERBELANJAAN
    Seharusnya kita perlu MENYIMPAN terlebih dahulu sebelum BERBELANJA.
  4. PERLINDUNGAN (Protection);
    Dalam kita bekerja untuk memperoleh PENDAPATAN, dan membuat SIMPANAN, kita seharusnya untuk memastikan kedua-duanya itu dilindungi. Di sinilah fungsi PERLINDUNGAN, iaitu untuk memberi perlindungan kepada PENDAPATAN dan SIMPANAN kita apabila berlaku musibah. Dengan adanya PERLINDUNGAN, kita dapat mengekalkan kedua-dua PENDAPATAN dan SIMPANAN. Instrumennya ialah takaful dan insurans.
  5. PELABURAN (Investment);
    Inflasi akan menurunkan nilai SIMPANAN kita. Jadi, di sini perlunya untuk seseorang itu untuk membuat PELABURAN sekurang-kurangnya untuk melawan inflasi. Lebih jauh lagi, fungsi PELABURAN adalah untuk meningkatkan PENDAPATAN dan SIMPANAN. Apabila bercakap tentang PELABURAN, ia akan berkait rapat dengan risiko.
  6. PENYUCIAN (Purification);
    Dalam mencari harta dan wang, Islam mewajibkan zakat untuk memastikan setiap wang dan harta yang kita miliki bersih dan suci. Ada sebahagian harta yang kita cari adalah hak dan milik orang lain yang kurang berkemampuan. Jadi, di sinilah fungsi PENYUCIAN bagi membersihkan harta benda kita. Malah, di dalam undang-undang negara pun ada mewajibkan cukai ke atas rakyat jelata. Selain itu, sedekah dan amal jariah juga di bawah langkah PENYUCIAN.
  7. PEMBAHAGIAN (Distribution);
    Harta benda yang kita cari dan simpan, tidak akan dibawa ke kubur. Selepas kematian kita, ia menjadi milik orang lain pula. Jadi di sinilah fungsi wasiat, dan faraid untuk memastikan PEMBAHAGIAN harta kita berjalan lancar. Ia kadang-kadang dilupakan oleh kebanyakan orang kerana menganggap faraid sudah ada. Ya, betul faraid itu hak, tetapi perlu ada elemen penyediaan wasiat supaya proses PEMBAHAGIAN  mengikut faraid berjalan lancar.
Sumber: http://afyan.com/7-langkah-asas-pengurusan-kewangan.html